MATA WANG

MENGURUSKAN RISIKO TUKARAN MATAWANG ASING

Syarikat yang menjalankan perniagaan antarabangsa pasti terdedah kepada risiko turun naik kadar matawang asing. Ini disebabkan setiap negara menggunakan matawang yang berbeza dan nilainya juga turut berbeza. Risiko pendedahan ini boleh dibahagikan kepada 3 jenis:

1.         Pendedahan Transaksi
2.         Pendedahan Perakaunan (Pendedahan Terjemahan)
3.         Pendedahan Operasi

PENDEDAHAN TRANSAKSI

1.            Memberi kesan dari aspek faedah dan kos urusniaga apabila berlaku perubahan nilai matawang asing setelah syarikat mengikat perjanjian secara sah untuk melengkapkan urusniaga tersebut.

2.            Kebanyakan perniagaan antarabangsa terdedah kepada risiko pendedahan transaksi. Tidak kira sama ada perniagaan jual beli barangan, perkhidmatan atau harta; pemberian kredit atau pinjaman wang.

Contoh:

Ali Dagangan Technologies Bhd telah mengikat perjanjian dengan pengeluar komputer HP di United States pada 3 Jan 14 untuk membeli sejumlah unit komputer riba bernilai USD 1.5 juta. Komputer tersebut hanya akan diterima 3 bulan akan datang iaitu pada 3 April 14 dan pembayaran perlu dilakukan apabila barang diterima.

·       Ali Dagangan Technologies Bhd berhadapan dengan risiko turun naik tukaran matawang asing yang mungkin menyebabkan kos pembelian tersebut meningkat pada masa pembayaran.

·       Sekiranya urusniaga dilakukan dalam RM, Ali tidak akan menghadapi masalah ini sebaliknya HP pula akan menghadapi masalah ini. Dalam perniagaan antarabangsa salah satu pihak akan terpaksa menanggung risiko ini.

KAEDAH MENGHADAPI RISIKO

1.      Tiada Perlindungan (Go Naked)

-        Tidak menyediakan sebarang cara mengatasi risiko pendedahan transaksi tetapi bersedia menghadapi kemungkinan turun/naik kos.
-        Syarikat tidak perlu mengeluarkan kos tambahan bagi membayar yuran/kos kepada mana-mana pihak berkecuali sebagai mekanisme untuk menangani masalah ini.
Akibat Kos meningkat sekiranya nilai USD pada bulan April lebih tinggi dari nilai semasa (Januari).

2.      Membeli USD Lebih Awal

-      Ali boleh membeli USD1.5 juta pada bulan Januari sebagai persediaan pembayaran pada bulan April. Dengan cara ini, Ali telah dapat ‘mengunci’ dan menentukan harga yang perlu dibelanjakan dalam RM bagi membayar USD1.5 juta walaupun nilainya mungkin berubah pada 4 bulan akan datang.
Akibat  Mungkin membayar harga yang lebih tinggi sekiranya nilai USD menurun pada bulan April.

3.      Membeli Opsyen Tukaran Matawang

-      Ali boleh membeli Kontrak Opsyen matawang bagi membolehkannya membeli USD1.5 juta pada bulan April. Dengan cara ini, Ali mendapat jaminan yang ia hanya membayar tidak lebih dari apa yang telah dipersetujui dalam Kontrak Opsyen.
-      Walau bagaimanapun, kontrak opsyen adalah mahal dan syarikat perlu mengeluarkan kos premium yang kebiasaannya adalah 3.0 – 5.5% untuk mendapatkan kontrak opsyen ini.
Akibat  Memberi pilihan kepada syarikat untuk membayar harga yang telah dipersetujui dalam kontrak opsyen atau harga semasa pada bulan April.   

4.      Memperoleh Aset Pengimbangan

-      Ali boleh meneutralkan liabilitinya sebanyak USD1.5 juta itu dengan membuat pengimbangan dengan aset yang dimilikinya. Contohnya, sekiranya Ali mempunyai pelaburan yang menggunakan denominasi USD, Ali boleh menggunakan pendapatan/hasil yang diterima dalam bulan Mei bagi pelaburan tersebut untuk membayar USD1.5 juta itu. Dengan ini, pendedahan transaksi dapat dielakkan.
Akibat  Pendedahan transaksi tidak berlaku.
(Namun, kaedah ini hanya terhad bagi syarikat yang mempunyai aset seperti dinyatakan)

  
PENDEDAHAN PERAKAUNAN (PENDEDAHAN TERJEMAHAN)

1.            Dalam membuat laporan tentang hasil operasi kepada pemegang saham, syarikat perlu menggabungkan penyata kewangan anak-anak syarikatnya kepada penyata kewangan yang disatukan. Masalah yang mungkin berlaku ialah apabila penyata kewangan anak syarikat luar negara dinyatakan dalam matawang asing.

2.            Pendedahan Perakaunan/Terjemahan adalah kesan ke atas penyata kewangan yang disatukan akibat turun naik matawang asing. Walau bagaimanapun ini tidak akan berlaku jika tukaran matawang asing ditetapkan. Hal ini kerana Pendedahan Perakaunan terjadi disebabkan keperluan menyatukan penyata kewangan kepada matawang yang sama.

            Contoh:

GM memindahkan $20 juta ke Barclays Bank untuk membuka akaun  bagi pengoperasian anak syarikat pengedaran baharu British, General Motors Import & Distribution Company Ltd (GMID). Andaikan nilai tukaran matawang pada hari transaksi adalah £1 = $2. Oleh itu, aset tunggal GMID itu ialah £10 juta. Sekiranya nilai dollar meningkat menjadikan £1 = $1.95, nilai aset/akaun GMID masih £10 juta. Namun, apabila akauntan GM menyediakan penyata akaun disatukan, pelaburan di GMID adalah bernilai $19.5 juta sahaja (£10 juta x $1.95). oleh itu, GM mengalami kerugian terjemahan/perakaunan sebanyak $500,000 ($20 juta – $19.5 juta).

            KAEDAH MENGHADAPI RISIKO
           
Kunci Kira-Kira Lindung Nilai (Balance Sheet Hedge)
-           diwujudkan apabila syarikat antarabangsa memadankan asetnya dengan liabiltinya yang menggunakan denominasi matawang yang sama. Kunci kira-kira ini dibahagi mengikut matawang, dan bukannya mengikut anak syarikat.
-           Contohnya AFLAC Inc yang berpangkalan di Georgia, United States adalah syarikat penyedia insuran hayat terbesar di Jepun. Bagi melindungi pelaburannya yang berjumlah $6.1 billion di Jepun daripada terdedah kepada pendedahan perakaunan, syarikat telah menyediakan kunci kira-kira serampang dua mata. Pelaburan tersebut diimbangi dengan sekuriti di Jepun bernilai $3.7 billion yang menggunakan denominasi US Dollar. Bagi menampung kewangan operasi lain, syarikat telah meminjam $1.5 billion dalam nilai Yen daripada bank di Jepun. Oleh itu, aset syarikat hanya berbaki $900 juta yang terdedah kepada Pendedahan Perakaunan.

           
PENDEDAHAN OPERASI

1.       Adalah kesan ke atas operasi syarikat terhadap tukaran matawang asing yang tidak terjangka.

2.         Dari perspektif strategik, ancaman terhadap Pendedahan Operasi perlu diberi perhatian serius oleh pembuat polisi firma kerana ia memberi kesan kepada setiap sector operasi, sama ada pembuatan, pemasaran dan perancangan kewangan. Turun naik tukaran matawang asing akan menjejaskan jualan dan keuntungan firma dalam banyak pasaran.

Contoh:

·      Pada 2008 nilai Yen dan Euro meningkat berbanding USD. Oleh itu, Jepun dan Eropah terpaksa memilih sama ada meningkatkan harga dalam USD kepada barangan ekspot kepada pelanggan di Amerika atau mengekalkan harga USD dan menanggung kerugian dalam operasi mereka.

·      Pelaburan jangka panjang dalam hartanah, peladangan dan peralatan adalah contoh perniagaan yang terdedah kepada Pendedahan Ekonomi, walaupun terletak di negara itu sendiri. Contohnya kilang Toyota yang terletak di Jepun kurang berdaya saing berbanding kilang di negara yang mempunyai nilai matawang yang rendah.

KAEDAH MENGHADAPI RISIKO

Lindung Nilai Operasi (Operational Hedge)
-        melalui cara sepadankan hasil dalam matawang yang diberikan dengan aliran kos yang setara. Syarikat seperti Sony telah mencuba mengurangkan risiko pendedahan operasi ke atas turun naik nilai matawang  dengan membuat pengeluaran, pembangunan dan penyelidikan dan pembelian alat ganti di pasaran tempatan. Ini bagi memadankan aliran hasil dan aliran kos mengikut negara.  
-        Syarikat kereta Jepun seperti Toyota dan Honda serta Eropah seperti BMW dan Mercedes-Benz yang mempunyai pasaran besar di Amerika. Mereka membuat pemasangan di Amerika Syarikat bagi menghadkan pendedahan operasi dengan mengimbangi hasil yang diperoleh dalam US Dollar dengan kos yang juga dalam US Dollar (kerana kos dan hasil keluar masuk di negara sama).

-        Elemen penting dalam menguruskan pendedahan ekonomi adalah menganalisis kemungkinan perubahan dalam tukaran matawang.

No comments:

Post a Comment